Sunday, May 25, 2008

....hArI KeMaTiAn....



Dalam kehidupan manusia yang selalu leka terhadap tanggungjawab dan lalai mentaati perintah ilahi...mereka tidak pernah risau akan kedatangan HARI KEMATIAN.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang
riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu
difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah
seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang
bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini
70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang,
didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail:
Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh
Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih
berseronok-seronok bergelak ketawa."


Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran
malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai,
sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,
mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah
tamat.


Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah
yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat
pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau
mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya
tidak tertangguh walau sesaat.


Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan
kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang
dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut
datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi
malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga
malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan
bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang
sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.
Firman Allah Taala:

Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat
(pula) mencepatkannya." (Surah Al-A'raf: ayat 34)

Friday, May 23, 2008

....MeMbInA MaSjId....


MELANGSUNGKAN PERKAHWINAN........Dalam konteks kebudayaan, perkahwinan adalah satu cara hidup tetapi daripada kacamata Islam ia adalah fitrah dan ibadat. Perkahwinan tidak hanya berupaya memenuhi tuntutan naluri semula jadi manusia, malah menggalakkan kita memenuhi syariat Islam. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya antara kamu rasa kasih dan sayang." – (Surah al-Rum, ayat 21)


Perkahwinan tidak sekadar menghubungkan perkongsian hidup antara lelaki dan perempuan tetapi kita ditugaskan untuk menjaga amanah supaya mengekalkan silaturahim serta perasaan kasih mesra sesama manusia. Perkahwinan yang wujud daripada rasa kasih sayang sejati ditambah pula dengan pengabdian tulus ikhlas kepada Allah akan menjadikan seseorang berani menghadapi kenyataan hidup, berusaha dan bekerja lebih giat bagi mencapai kejayaan demi memenuhi kewajipan mencari nafkah untuk anak dan isteri. Selain itu, perkahwinan juga mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam kemungkaran seperti terbabit dengan seks luar nikah, seterusnya melanjutkan keturunan dan membentuk anak yang soleh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa dua rakaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada 70 rakaat solat orang bujang". Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Apabila mati seseorang itu, maka terputuslah semua hubungannya kecuali tiga perkara iaitu amalannya, sedekah jariahnya dan anak yang salih." Namun, masih ada beranggapan bahawa perkahwinan yang bahagia hanya akan lahir daripada kemewahan wang ringgit atau banyaknya harta benda dan tingginya darjat seseorang. Sikap itu menyebabkan mereka enggan atau melambat-lambatkan perkahwinan. Alasannya, perkahwinan itu nanti akan membebankan mereka dengan pelbagai masalah ekonomi. Apa lagi pihak wanita hari ini sering meletakkan belanja hantaran terlalu tinggi, menjadikan masalah perkahwinan semakin kompleks.

Alangkah baiknya jika kita kembali kepada konsep Islam yang sering mempermudahkan segala sesuatu bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Wajib atas kamu memberi nafkah (sara hidup) kepada anak dan isteri kamu serta pakaian dan tempat tinggal yang munasabah." Siti Aisyah menerangkan, Nabi Muhammad SAW amat pengasih dan lemah lembut dalam pergaulan dengan isteri-isterinya. Kehidupan Baginda sederhana, ketika siang hari Baginda tidur di atas tikar yang dijadikan juga tempat bersolat dengan beralaskan kain lilitan serban. Keghairahan memburu corak kehidupan moden serta sikap mementingkan kebendaan menjadikan sebahagian kita terpedaya dan hanyut dalam gelora cinta melulu serta penuh tipu daya, kemungkaran tanpa ingin mengakhiri perhubungan itu dengan ikatan perkahwinan yang halal. Justeru, berlaku kisah tragis kekecewaan gadis yang ditinggalkan kekasih lalu dilanda kebuntuan dan dilema. Semuanya itu dapat dielakkan jika mereka mempunyai kepercayaan kepada nilai Islam yang membatasi had dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ketika hampir menyembahyangkan jenazah seorang sahabat meninggal dunia, salah seorang yang hadir dalam kumpulan itu bertanya: "Wahai Rasulullah, sahabat kita yang meninggal dunia ini memang terbilang kebajikannya sewaktu hidup, ia bersolat, berpuasa, bersedekah serta melakukan segala kebajikan, bagaimanakah pandangan tuan terhadapnya? Maka Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya aku mengetahui akan kebajikan yang dilakukan olehnya, tetapi aku sedih kerana akan berkuranglah martabat pandangan Allah terhadap dirinya lantaran dia meninggal dunia dalam keadaan bujang."

Alangkah baik jika kita mengetahui bahawa sebarang bentuk pencarian rezeki yang halal daripada keringat seorang suami serta keredaan seorang isteri menerima hakikat kehidupan bersama suami adalah ibadat yang akan diberikan ganjaran pahala besar daripada Allah. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Apabila seseorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah di masuk ke syurga dari sebarang pintu yang ia kehendaki." Seorang isteri yang ikhlas serta penuh reda menyambut kepulangan suaminya dengan senyum manis lalu menghulurkan segelas minuman melepaskan dahaga, maka pahalanya sama seperti pahala seseorang yang menunaikan umrah. Eloklah kita renungkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki jahat untuk perempuan jahat manakala perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat pula."