Sunday, May 25, 2008

....hArI KeMaTiAn....



Dalam kehidupan manusia yang selalu leka terhadap tanggungjawab dan lalai mentaati perintah ilahi...mereka tidak pernah risau akan kedatangan HARI KEMATIAN.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang
riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu
difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah
seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang
bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini
70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang,
didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail:
Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh
Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih
berseronok-seronok bergelak ketawa."


Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran
malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai,
sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,
mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah
tamat.


Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah
yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat
pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau
mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya
tidak tertangguh walau sesaat.


Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan
kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang
dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut
datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi
malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga
malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan
bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang
sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.
Firman Allah Taala:

Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat
(pula) mencepatkannya." (Surah Al-A'raf: ayat 34)

No comments: